‘Tak sangka arwah masih tinggalkan wang perbelanjaan’


‘Tak sangka arwah masih tinggalkan wang perbelanjaan’

AYER TAWAR – Seorang bapa tidak menyangka RM500 yang diberikan anak keempatnya sebelum meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya 22 Februari lalu bukanlah yang terakhir.

Ismail Hassan, 60, yang tinggal di Batu 19, Ayer Tawar berkata, beberapa hari sebelum kejadian dia ada memaklumkan kepada arwah anaknya Muhammad Mustaqim, 24, bahawa bil elektrik sudah sampai di rumah mereka dan memerlukan RM100 untuk membayarnya.

“Selepas itu dia mengeluarkan wang di bank dan memberikan saya sejumlah RM500 dan saya cakap banyak duit abang bagi ini, ayah nak RM100 buat bayar bil elektrik sahaja dan dia menjawab tak apa ambil sahaja semuanya.

“Rupanya itu adalah pemberian terakhir gajinya kepada saya sebelum dia meninggal dunia kemalangan ketika keluar untuk bekerja di Sitiawan 22 Februari lalu dan saya rasa dunia saya sangat gelap masa itu,” katanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Seri Manjung, di kediamannya di sini, hari ini.

Menurut Ismail, dia terkejut bila dimaklumkan bahawa akan menerima wang Faedah Tanggungan Perkeso kerana arwah anaknya merupakan pencarum Perkeso dan tidak dapat menahan sebak ketika menerima khabar berkenaan.

“Saya ingat RM500 itulah pemberian terakhir arwah tetapi tidak sangka walaupun dia sudah pergi meninggalkan kami dia masih memberikan saya wang perbelanjaan setiap bulan sehingga akhir hayat saya melalui Perkeso.

“Wang saya dapatkan ini akan digunakan untuk perbelanjaan kami sekeluarga serta sebahagiannya akan disedekahkan kepada masjid atau surau supaya arwah anak saya mempunyai saham akhirat,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Perkeso Seri Manjung, Mohd Shaperi Md Salleh, berkata, Allahyarham Muhammad Mustaqim bekerja sebagai Pembantu Awam Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di Sitiawan dan dilaporkan meninggal dunia dalam kemalangan ketika menunggang motosikal.

“Kami menerima maklumat daripada laporan akhbar tempatan dan Skuad Prihatin Perkeso Seri Manjung segera menjalankan siasatan bagi membantu keluarga arwah mendapat bantuan sepatutnya memandangkan arwah merupakan pencarum Perkeso.

“Selepas dijalankan siasatan bapa dan adik bongsu arwah layak menerima Faedah Tanggungan dengan bayaran sebanyak RM1,606.50 sebulan di mana bayaran akan mula dibuat bermula bulan ini,” katanya.

Selain itu, Perkeso turut menyampaikan sumbangan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 kepada Ismail.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *