fbpx

Tipu harta pusaka: Suri rumah diberi tempoh 9 hari

Tipu harta pusaka: Suri rumah diberi tempoh 9 hari

Suri rumah berusia 48 tahun itu didapati menjual enam lot tanah pusaka keluarga tanpa pengetahuan adik-beradiknya.

Seorang suri rumah diberi tempoh sembilan hari bagi memberi jawapan ke atas tuntutan ganti rugi berjumlah RM720,000 oleh lima adik-beradik kepadanya kerana didapati melakukan penipuan harta pusaka arwah bapa mereka.

Keputusan dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Selasa, selepas wanita berusia 48 tahun itu, selaku defendan memohon agar memberi sedikit masa kepadanya bagi mempertimbangkan semula tuntutan berkenaan.

Defendan sebelum ini didapati menjual enam lot tanah pusaka milik kelima-lima beradik itu tanpa pengetahuan dengan cara menipu tandatangan tiga daripada mereka semasa proses jual beli tanah di Kemasik, Kemaman.

Jabatan Kimia turut mengesahkan kesemua tandatangan yang dibuat di setiap dokumen jualan tanah berkenaan adalah palsu.

Sebelum ini, adik-beradik wanita itu yang berusia antara 29 hingga 51 tahun, selaku plaintif, memfailkan pernyataan tuntutan berjumlah RM720,000 menerusi Tetuan Mohd Zubir Embong @ Associates.

Pernyataan difailkan pada 17 Januari lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang mengandungi sembilan tuntutan itu mendapat persetujuan daripada Hakim Datuk Zainal Azman Ab.Aziz yang menghakimi tuntutan tersebut.

Dalam tuntutan tersebut, plaintif-plaintif turut menamakan Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian, selaku defendan kedua.

Mahkamah bersetuju dengan kesemua tuntutan dibuat antaranya melibatkan bayaran kerugian jualan tanah pusaka dan kos guaman semua plaintif.

Share this post