3 Minggu Allah Beri Masa Untuk Saya Bersedia, Hadapi Saat Kematian Suami


3 Minggu Allah Beri Masa Untuk Saya Bersedia, Hadapi Saat Kematian Suami

Ajal itu apabila sudah sampai waktunya, masanya tidak akan lambat, tidak akan cepat. Hadirnya tepat sama ada kita benar-benar sedia ataupun tidak. Inilah yang terpaksa dihadapi Azlina Mohamed dalam menerima hakikat kematian suaminya.

Suaminya pergi ke kampung akhirat dalam jangka waktu yang begitu pantas. Banyak kemungkinan yang perlu dilaluinya untuk Azlina benar-benar bersedia dan cekal. Namun, akuinya disebabkan jiwanya yang rapuh dia mencatatkan 6 garis panduan ini.

Biar apa pun situasinya sekarang ini, isteri kenalah bersiap sedia dengan enam hal ini. Supaya, ketika isteri ditinggalkan dirinya sudah punya kekuatan dalaman yang kental. Ya.. biarpun masih lemah. Sekurang-kurangnya isteri sudah bersiap sedia.

Saya Tak Mahu Isteri Isteri Lain, Lemah Macam Saya

Al Fatihah buat suami saya, Noor Aiman bin Noor Mohamed, yang meninggal pada 1 Mei 2018 disebabkan oleh denggi. Semoga syurga tempatnya.

Pesanan buat isteri; berdasarkan pengalaman sendiri.

1. Belajar/Mahirkan Diri Memandu Kereta

Kita tidak tahu berapa lama kita boleh menggunakan khidmat suami kita sebagai driver.
Jika suami sakit, siapa lagi yang akan drive? Bawa suami ke hospital, melawat suami, urusan luar, hantar dan ambil anak sekolah, dan macam-macam lagi tugasan yang melibatkan pemanduan kereta.

Dan jika ditakdirkan suami meninggal, nauzubillah min zalik, isterilah yang harus mengambil alih semua tugasan harian dan pastinya ada yang melibatkan perjalanan yang perlu menggunakan kereta.

Saya perlu drive kadang-kadang sejam lebih dari rumah ketika suami berada di ICU Hospital Klang. Terbayang-bayang jika saya tak pandai drive, macam mana saya nak ke hospital? Grab? Kos tinggi. LRT/KTM? Tak semudah itu.

2. Ada Punca Pendapatan

Tidak kira bekerja di pejabat atau di rumah, pastikan ada punca pendapatan. Dan ada simpanan. Penting untuk digunakan ketika waktu kritikal.

Selepas kematian suami, isteri pula lah yang akan mengambil tanggungjawab membayar kereta, yuran sekolah anak-anak, belanja seharian dan sebagainya.

3. Kenali Sahabat Sahabat Suami

Arwah suami saya seorang yang suka bercerita tentang sahabatnya. Jadi sedikit sebanyak, saya tahu apa pekerjaan sahabat-sahabat arwah.

Ketika hati bimbang tentang kesihatan suami, diri ni pula tak berapa nak faham medical term yang doktor terangkan, sahabat sendiri tak ramai yang jadi doktor, sahabat-sahabat suami yang bekerja sebagai doktor lah yang menjadi panduan.

Mereka jugalah yang banyak membantu terutama proses berkaitan wad/hospital, penginapan berdekatan hospital, kebajikan kami dan anak-anak, viralkan mesej #pray4aiman, dan macam-macam lagi kebaikan yang tak dapat saya balas.

4. Jaga Hubungan Kekeluargaan

Ketika kita senang, jangan kita abaikan keluarga besar kita. Kerana bila kita dalam kesusahan, kehadiran ahli keluarga besar kitalah yang akan membantu dan menjadi penguat semangat kita.

Sejak suami saya tenat, ahli keluarga lah yang banyak membantu menguruskan anak-anak, beli makan minum untuk kami yang tak sempat fikir ttg makan dan minum, bagi semangat pada kami, ingatkan kami untuk terus kuat dan redha, dan macam-macam lagi. Cuba bayangkan jika saya sendirian?

Benarlah, sambil Allah hantar ujian, Allah hantarkan juga bantuan. Betapa Allah tidak zalim, malah Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

5. Bersedia

Alhmdulillah Allah tahu saya lemah. Dia berikan saya masa 3 minggu untuk bersedia dan redha menghadapi kematian suami saya.

Kematian boleh berlaku bila-bila sahaja. Samada sakit atau sihat.

Terbayang jika saya tidak bersedia, suami saya meninggal, mungkin saya pula yang akan pengsan, sakit atau sebagainya dan susahkan lagi urusan berkaitan kematian suami saya.

6. Jadilah Pencarum Takaful/Hibah Sekiranya Mampu

Alhamdulillah 4 bulan lepas, setelah dipujuk, arwah suami saya akur untuk mencarum takaful bersama sepupunya Wan Hafizuddin . Inisiatif ini kami ambil kerana suami saya punca utama pendapatan kami sekeluarga. Bimbang jika terjadi sesuatu yang tidak diingini, ada sesuatu yang dapat membantu kami.

Ternyata perkara yang tidak diingini itu betul-betul berlaku. Lebih lagi, melibatkan kematian.

Takaful ini juga yang membantu suami saya menerima rawatan yang cepat dan dapat berehat dengan selesa sebelum arwah koma dan akhirnya meninggal.

Bila arwah meninggal, pampasan kematian itulah sedikit sebanyak dapat membantu saya menguruskan anak-anak dan kehidupan kami yang seterusnya.

Jika diimbas kembali sekiranya suami saya tidak mencarum takaful, ditambah dengan ketiadaan duit simpanan yang banyak, tiada pampasan kematian dan sebagainya, bagaimana kehidupan kami dan anak-anak yang masih kecil ni?

Tapi sekiranya tidak mampu mencarum takaful/hibah, tidak mengapa. Pastikan simpanan dibuat secara berkala dan berterusan. InsyaAllah kita yakin bahawa rezeki Allah ada dimana-mana.

Pesanan ini, bukan sebab saya rasa saya hebat. Tapi sebab saya rasa saya lemah. Dan saya tak mahu isteri-isteri lain jadi lemah macam saya.

Semoga kita semua sentiasa dipinjamkan kekuatan oleh Allah dalam kehidupan seharian kita.

Semoga bermanfaat.

Sumber/Foto : Azlina Mohamed

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *