fbpx

TERKEJUT TERIMA PAMPASAN ANAK

TERKEJUT TERIMA PAMPASAN ANAK

MARANG – Ibu kepada pemuda meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 30 Ogos tahun lalu, Hasmah Abdullah, 49, menerima cek pampasan daripada sebuah syarikat perlindungan insurans berjumlah RM47,000.
Menurutnya, dia terkejut kerana langsung tidak mengetahui anaknya, Allahyarham Mohd Khairul Asraff Mohamad Yusof, 28, ada mengambil perlindungan insurans Prudential BSN Takaful Berhad disebabkan arwah baru mula bekerja.
Menurutnya, sebagai anak sulung, Mohd Khairul Asraff adalah harapan keluarga.
“Sudah pasti dia mahu adik-adiknya berjaya dan wang pampasan itu akan digunakan sepenuhnya untuk keperluan adik-adiknya menghabiskan pengajian masing-masing.
“Arwah juga ada berniat untuk menghantar saya dan bapanya mengerjakan umrah sekiranya dia mendapat pekerjaan tetap, namun hasratnya itu mungkin akan ditunaikan selepas urusan adik-adiknya selesai terlebih dahulu,” katanya.
Isteri kepada Mohamad Yusof itu berkata demikian kepada Sinar Harian selepas menerima cek pampasan kematian daripada wakil pihak syarikat pelindungan insurans Prudential BSN Takaful Berhad di rumahnya, di Kampung Star Kanan, di sini.
Pada 30 Ogos tahun lalu, Mohd Khairul Asraff yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di sebuah syarikat stesen televisyen berbayar di Petaling Jaya, Selangor terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
Hasmah berkata, Mohd Khairul anak sulung daripada enam beradik seorang yang aktif, rajin dan sentiasa mengambil berat mengenai keluarga serta sering pulang ke kampung menjenguk keluarga walaupun sudah bekerja di luar negeri ini.
“Sehubungan itu, pampasan ini akan saya manfaatkan sebaik-baiknya untuk kegunaan lima adiknya yang masih belajar.
“Yang nombor dua sedang mencari kerja dan yang bongsu baru berusia lima tahun termasuk mengupah haji buat arwah,” katanya.
Cek perlindungan insurans Prudential BSN Takaful Berhad disampaikan wakil pihak insurans terbabit, Muhammad Firwan Norliza di rumah keluarga pencarum di Kampung Star Kanan di sini.

Share this post