fbpx

Takaful ringankan kos perubatan

Takaful ringankan kos perubatan

image
BERLALU sudah ibadat puasa sebulan di bulan Ramadan dan baru juga kita menyambut hari Raya Aidilfitri. Suasana raya masih lagi dirasai dimana-mana malah majlis rumah terbuka masih banyak diadakan. Mudah-mudahan ibadat puasa yang telah berlalu itu telah dapat melahirkan insan-insan yang bertaqwa kepada Allah Taala.
Walaupun Islam tidak melarang untuk melahirkan kegembiraan dalam meraikan hari Raya Aidilfitri ini namun biarlah ianya dalam batasan yang dibenarkan Allah Taala. Sikap berhati-hati perlulah sentiasa diberikan keutamaan dalam semua aspek terutamanya apabila musim perayaan besar seperti ini tragedi kemalangan dan kecelakaan menjadi suatu yang amat mengerikan.
Penjagaan kesihatan Di samping itu aspek-aspek kesihatan juga perlu diberikan keutamaan. Walaupun kita sibuk berhari raya, berkunjung ke sana dan ke sini tahap kebersihan diri dan persekitaran perlu dipastikan berada pada tahap yang maksimum lebih-lebih lagi ketika cuaca yang tidak menentu ini.
Dalam kemeriahan merayakan Aidilfitri jangan dilupa dan lalai bahawa kehidupan seharian yang kita lalui sentiasa terdedah kepada sebarang bentuk kemungkinan terutamanya yang berbentuk musibah dan malapetaka.
Musibah boleh menimpa kita tanpa mengira darjat, pangkat, umur, bangsa dan warna kulit.  Ia akan mendatangkan mudarat dan penderitaan kepada kita dan akhirnya kita akan menanggung pelbagai beban dan kesulitan.
Malah yang lebih malangnya, kaum keluarga kita sendiri seperti anak dan isteri kita akan turut sama menanggung penderitaan. Oleh kerana itulah timbulnya satu keperluan untuk memiliki perlindungan takaful sebagai satu langkah bijak untuk menguruskan kehidupan agar tercapai bahagia di dunia dan juga bahagia di akhirat.
Apa itu Takaful? Sistem Takaful ialah satu sistem yang berteraskan kepada prinsip-prinsip Syariah yang menjamin prinsip’ketelusan dan keadilan’ bagi memastikan semua pihak yang berurusan tidak merasa tertindas.
Prinsip utama dalam takaful ialah semua pihak yang menyertai kontrak ini dapat merasa manfaat dan tidak terasa sebarang keraguan atau rasa tertipu, seperti membayar sesuatu dengan harga yang mahal tetapi tidak mendapat barang yang dikehendaki, atau pun barang itu hanya dijanjikan jika berlaku sesuatu musibah ke atas diri atau hartanya.
Sehubungan dengan itu, kontrak takaful adalah berasaskan kepada Tabarru’ (derma) dan Taawun (tolong menolong), di mana semua peserta yang memilih atau menyertai pelan takaful bersetuju untuk saling tolong menolong, jamin menjamin antara mereka ketika ditimpa musibah atau kemalangan.
Maksudnya, semua peserta menyumbang dengan ikhlas untuk saling membantu antara mereka jika ditimpa musibah. Dengan konseptabarru’ dan ta’awunini, maka akan terhapuslah sikap keakuan, iaitu saya beli polisi ini untuk diri saya dan bukan untuk orang lain, tetapi konseptabarru’ danta’awun, ini telah menyemarakkan rasa kasih sayang sesama saudara ketika mereka mengalami kesusahan atau penderitaan.
Dalam sistem takaful, semua aktivitinya dikawalselia oleh Jawatankuasa Syariah bagi memastikan semua operasinya samada produk, pelaburan dan juga pengurusan adalah selaras dengan prinsip-prinsip  Syariah.
Industri takaful juga sudah boleh dikira telah lengkap dari sudut rantaian produknya yang merangkumi produk-produk yang berkaitan dengan pendidikan, perubatan, kesihatan, simpanan, berkaitan pelaburan, perlindungan kredit, perlindungan harta benda dan sebagainya.
Produk keperluan ummah Bermula dengan penawaran produk asas yang terhad kini industri takaful sudah boleh berbangga bahawa rantaian produk yang ditawarkan sudah mampu memenuhi keperluan ummah yang kiranya tiada lagi alasan untuk tidak menjadikan produk-produk takaful sebagai pilihan.
Di antara produk yang mendapat sambutan hangat daripada masyarakat hari ini ialah produk-produk perlindungan berkaitan kesihatan dan pelaburan (investment-link).
Memang tidak dinafikan semua orang mengimpikan kehidupan yang bahagia dan harmoni. Tetapi malangnya ramai yang terlupa dalam banyak-banyak perkara yang penting untuk mencapai kebahagiaan hidup ialah kesihatan fizikal dan mental.
Ramai yang menabung untuk simpanan hari tua, untuk pendidikan masa depan anak-anak dan seringkali tabungan untuk kesihatan ini, tidak ramai yang betul-betul membuat persiapan dan persediaan. Malah yang lebih malangnya memandang remeh terhadap aspek tersebut dengan alasan di negara kita ini pihak kerajaan telah menyediakan perkhidmatan kesihatan kenapa perlu bersusah payah lagi untuk menyediakan dana untuk tujuan tersebut.
Kos untuk perkhidmatan perubatan juga telah turut meningkat dari masa ke semasa. Persoalannya apakah kaedah tabungan yang sesuai dan mampu memenuhi keperluan tabungan kesihatan dan perubatan seperti yang kita hajati.
Dewasa ini kemunculan takaful seolah-olah memberi nafas baru yang dapat memberikan peluang untuk mendapatkan perlindungan yang lebih komprehensif, adil dan telus. Hasrat untuk mendapatkan perlindungan kesihatan dapat diperolehi menerusi pelbagai produk yang ditawarkan oleh pengendali takaful yang ada di negara kita. Pelbagai produk yang inovatif telah ditawarkan oleh para pengendali ini bagi memenuhi keperluan perlindungan kesihatan oleh masyarakat.

Share this post