fbpx

Masalah hutang perubatan tinggi rakyat Malaysia

Masalah hutang perubatan tinggi rakyat Malaysia

kad-perubatan-mahal
Baru-baru ini didedahkan bahawa terdapat 36 000 rakyat negara ini yang menanggung beban hutang yang tinggi sehingga terpaksa merujuk kepada Agensi Kaunselling dan Pengurusan Kredit(AKPK) akibat gagal melunaskan hutang rawatan perubatan.
Rata-rata mereka ini berumur di antara 20an dan 50an dan mengambil masa maksimum 10 tahun untuk melangsaikan hutang tersebut. Menurut AKPK, angka tersebut merupakan 26% daripada keseluruhan 140,462 pelanggannya yang buntu bagaimana hendak menyelesaikan masalah hutang. Jumlah itu pula dijangka terus meningkat kerana gaya hidup rakyat negara ini yang kurang bersenam, tekanan kerja dan gemar mengambil makanan segera.
Mengikut AKPK, trend berhutang untuk membayar kos rawatan perubatan semakin meningkat setiap tahun. Pada tahun 2007, sebanyak 18% sahaja yang dirujuk kepada AKPK dan kini meningkat kepada 26%. Dalam kebanyakan kes, pesakit menggunakan kad kredit untuk mendapatkan rawatan awal. Ini kerana hospital-hospital swasta enggan menerima pesakit yang tidak mempunyai deposit.
Oleh itu jalan mudah adalah bagi mereka menggunakan kad kredit. Akhirnya, bukan sekadar membayar deposit sahaja menggunakan kad kredit, keseluruhan kos rawatan juga dibayar menggunakan kad kredit. Timbul persoalan apakah yang menyebabkan kos rawatan tinggi di hospital swasta? Ini kerana doktor profesional tidak boleh sewenang-wenangnya mengenakan caj yang tinggi terhadap pesakit kerana mempunyai jadual dan peraturan yang telah ditetapkan.
Kadar bayaran doktor profesional adalah tertakluk di bawah Jadual ke 13 kepada Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) 2006. Ini bermakna kadar caj doktor telah ditetapkan jumlahnya.
Oleh itu caj yang mahal bukan disebabkan oleh bayaran doktor atau kepakaran, tetapi bayaran lain seperti sewa peralatan dan bilik bedah, penyelenggaraan yang tinggi serta kemudahan bilik rawatan terkini bertaraf lima bintang. Terdapat juga caj bagi perkhidmatan jururawat, alat pakai buang, ubat yang lebih mahal serta bayaran perkhidmatan untuk buang sampah, yang juga dikenakan kepada pesakit. Ini yang menyebabkan bayaran hospital swasta kebanyakannya terlalu tinggi. Berbanding dengan hospital kerajaan di mana perkhidmatan dan ubat-ubatannya ditanggung oleh kerajaan dan pesakit hanya membayar alat ganti dalam pembedahan.
Seeloknya pesakit mendapatkan maklumat terperinci mengenai kos rawatan sebelum pergi mendapatkan rawatan di hospital swasta. Pesakit juga perlu bertanya tentang sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku, contohnya komplikasi semasa pembedahan yang akan mengakibatkan caj tambahan. Jika pesakit sudah dilindungi di bawah insurans, pastikan jika terdapat had kepada jumlah kos rawatan yang ditanggung pihak insurans agar tidak terpaksa membayar lebih dari jumlah yang ditetapkan. Bagi pihak hospital pula perlu lebih telus dalam memberitahu semua pesakit terlebih dahulu mengenai anggaran kos rawatan di hospital mereka, selain bayaran bagi doktor profesional.
Contoh caj adalah caj yang dinaikkan disebabkan oleh kos peralatan atau kelengkapan pakai buang, kos bagi inisiatif kualiti, kos kawalan jangkitan hospital dan sebagainya di mana kenaikan kos tersebut tidak dapat dielakkan. Pada masa yang sama, pihak hospital swasta perlu menyediakan bil terperinci kepada pesakit apabila diminta.
Pesakit yang merasakan bil hospitalnya terlalu tinggi atau melampau, boleh membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan. Semua aduan akan disemak dengan merujuk kepada Jadual Ketiga Belas, Peraturan-Peraturan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta (Hosptal Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) 2006.
Sekiranya aduan tersebut berasas, kementerian akan memohon pihak hospital dan pengamal perubatan terlibat untuk mengemukakan penjelasan serta mengadakan rundingan dengan pengadu. Di antara sebab bil rawatan tinggi adalah kerana hospital swasta lebih mengutamakan keuntungan semata-mata berbanding soal kemanusiaan.
Oleh itu disarankan agar hospital swasta jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata dan mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain tetapi perlu juga bertimbang rasa dan berperikemanusiaan. Masyarakat kita juga harus mengubah sikap suka menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah kepada orang lain.
Jika memang tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta, maka tidak payahlah ke situ. Seperti kata pepatah “ukur baju di badan sendiri”. Yang penting hidup mengikut kemampuan dan jangan fikirkan apa orang lain kata. Yang akan menanggung bil rawatan yang tinggi adalah diri sendiri, bukan orang lain. Bagi orang Islam, hendaklah berusaha menjelaskan hutang rawatan perubatan mereka.
Ini kerana orang yang tidak membayar hutang rohnya akan tergantung di antara langit dan bumi sehingga dijelaskan hutang tersebut. Sudah tentu kita tidak mahu terdiri dari golongan yang dimaksudkan.

Share this post