Takaful beri perlindungan, pelaburan Islamik

Takaful beri perlindungan, pelaburan Islamik

Tujuan asas takaful adalah untuk memberi perlindungan kepada pemilik sijilnya sekiranya berlaku musibah seperti kematian dan hilang upaya.

Ramai di antara kita tidak mempersiapkan diri untuk menghadapi musibah dan tidak menganggap perlindungan takaful sebagai satu bentuk simpanan, sebaliknya menganggap caruman takaful adalah perbelanjaan yang tidak perlu.

Perlindungan Takaful sentiasa dianggap tidak perlu di dalam perancangan kewangan individu kerana ramai di antara kita mempunyai mentaliti bahawa ahli keluarga akan membantu sekiranya kita ditimpa kesusahan, terutamanya kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai.

Namun, tahukah kita bahawa perlindungan takaful adalah lebih diperlukan lagi sekiranya kita berada di dalam sebuah keluarga besar kerana wujudnya elemen pergantungan kewangan? Bayangkan jika pencari nafkah tunggal meninggal dunia, meninggalkan anak-anak yang masih lagi bergantung harap kepadanya. Kehilangan pencari nafkah tunggal bukan sahaja amat menyedihkan malah turut akan membebankan keluarga tersebut untuk mencari sumber pencarian lain sebagai pengganti.

Tanpa perlindungan takaful, keluarga yang ditinggalkan akan berhadapan dengan kesukaran untuk menyelesaikan hutang dan bagi meneruskan kehidupan. Perlindungan takaful sedikit sebanyak boleh membantu menyelesaikan hutang dan kemudiannya memberikan sedikit pendapatan sebelum beroleh sumber pendapatan yang baharu.

Ini amatlah digalakkan di dalam Islam demi menjaga integriti keluarga, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Sa’ad bin Abi Waqqas ” …adalah lebih baik kamu meninggalkan zuriatmu dalam keadaan kaya (cukup) berbanding kamu meninggalkan mereka dalam keadaan miskin (tidak cukup) meminta-minta pertolongan manusia lain” (Hadis Riwayat Bukhari). Jelaslah kepada kita bahawa Islam itu amat menggalakkan seorang muslim untuk menyediakan ‘payung sebelum hujan.’

Selain dari penyediaan perlindungan, takaful merupakan satu cara untuk meningkatkan pelaburan secara Islam. Caruman yang disumbangkan oleh pemilik sijil akan diuruskan oleh pengendali takaful dengan melabur di dalam dana pelbagai jenis instrumen kewangan seperti Sukuk. Dengan cara ini, pemilik sijil dengan sendirinya terlibat dalam aktiviti-aktiviti pelaburan secara tidak langsung hanya dengan mengambil bahagian dalam Takaful. Hasil dari penyertaan di dalam pelaburan ini membolehkan peserta berupaya untuk menyumbang dalam peningkatan jumlah pelaburan secara Islamik secara khusus dan seterusnya memartabatkan industri halal secara umumnya.

Dengan penyertaan kita di dalam takaful, kita bukan sahaja berlaku adil kepada ahli keluarga dengan menyediakan apa yang dituntut dan digalakkan ke atas seorang muslim, tetapi juga berpeluang untuk meningkatkan ekonomi dan memperkukuhkan kewangan Islam secara keseluruhannya.