Insurans untuk Pengantin


Insurans untuk Pengantin

197608_1321650819402_1542140_n

Cadangan mewajibkan bakal pengantin lelaki Islam mengambil insurans untuk bakal isteri sebelum mereka bernikah empat tahun lalu menjadi satu perkhabaran gembira segenap lapisan wanita. Bakal pengantin perempuan terasa dilindungi dan selamat untuk berumah tangga apabila cadangan itu diusulkan sekitar 2006.

Namun, ketika itu hanya di peringkat cadangan dan kini penantian belum menemui kata putusnya. Usul yang dikemukakan oleh Ketua Hakim Syarie, Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman ketika itu, sehingga kini masih menjadi tanda tanya beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita, berikutan cadangan mewujudkan skim perlindungan itu hanya diam begitu saja tanpa sebarang khabar berita.

Rata-rata, beberapa NGO wanita berpendapat, usul bagi memberi perlindungan kepada isteri sebagai persediaan apabila ditinggalkan suami sama ada berlaku kematian atau perceraian dilihat, sebagai satu cadangan yang baik. Meskipun begitu, timbul persoalan bagaimana mahu melaksanakannya sedangkan masih ramai masyarakat tempatan yang belum mempunyai kesedaran dalam memiliki pelan perlindungan untuk diri sendiri.

Presiden Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi) Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, berkata pihaknya menyokong penuh cadangan itu pada peringkat awal ia dikemukakan. Saranan itu dikatakan sebagai persediaan untuk melindungi isteri yang dikatakan berdepan dengan risiko ditinggalkan suami, tidak kira apa bentuknya, sama ada kematian atau bercerai.

“Cadangan itu sangat baik, demi menjaga kepentingan dan menanggung beban isteri yang terpaksa menjaga anak-anak selepas ditinggalkan suami untuk meneruskan kehidupan kemudian hari. Namun begitu, sehingga kini sudah empat tahun kita belum mendapat khabar berita sama ada usul itu sudah dikemukakan di peringkat tertinggi ataupun tidak.

“Pertiwi ingin tahu apakah kemajuan daripada cadangan itu dan dan apakah status isu itu. Jika ia belum dilaksanakan, apakah halangan yang dihadapi dan mengapa ia mengambil masa begitu lama untuk diteruskan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian baru-baru ini.

Pada Jun 2006, akhbar melaporkan, Sheikh Ghazali pernah mencadangkan supaya sistem takaful insurans perkahwinan diperkenalkan dalam prosiding perkahwinan pasangan Islam di negara ini. Berdasarkan cadangan itu, bakal pengantin lelaki Islam diwajibkan mengambil insurans sebelum bernikah dan jika berlaku kematian atau diceraikan suami, wang insurans itu dapat digunakan untuk meringankan beban isteri untuk menyara diri dan anak-anak.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) ketika itu dilaporkan berkata, sistem itu sudah diperkenalkan di Mesir dan berjaya membela kehidupan golongan terbabit.

Mengulas lanjut cadangan itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), ketika itu Datuk Mustapa Abdul Rahman menyifatkan cadangan itu sebagai murni tetapi tidak seharusnya dibuat dalam bentuk paksaan. Pemberian insurans katanya, amat digalakkan tetapi tidak boleh paksa sebaliknya seelok-eloknya diberikan sebagai hadiah kepada isteri dan anak-anak.

Walaupun mendapat komen pelbagai pihak, cadangan itu masih senyap sehingga ke hari ini dan tiada tindakan susulan diambil oleh pihak berwajib.

Sementara itu, Timbalan Dipertua Majlis Pertubuhan Kebangsaan Wanita (NCWO), Faridah Khalid pula berkata, walaupun cadangan itu baik tidak pasti bagaimana ia hendak dilaksanakan sedangkan perkara yang lebih wajib seperti nafkah belum tentu dapat ditunaikan sesetengah individu.

“Perkara wajib memberi nafkah pun tidak semuanya ditunaikan dengan baik inikan pula insurans. Bagaimana kita lihat ia dapat mewajibkan dan bagaimana pula mahu dilaksanakan. Insurans adalah subjek membabitkan premium pembayaran bulanan atau tahunan dengan jumlah tertentu.

“Sedangkan masih ramai lagi masyarakat Malaysia yang belum mempunyai kesedaran mengambil insurans perlindungan diri sendiri, apatah lagi mahu mewajibkan pembayaran insurans untuk bakal isteri,” katanya.

Faridah berkata, jika dilaksanakan, apakah tindakan yang akan diambil jika ada yang tidak mampu membayarnya.

“Perlindungan untuk keluarga adalah menjadi tanggungjawab suami terhadap isteri dan keluarga masing-masing. Tetapi jika mahu ambil premium insurans perlulah dari awal kerana lebih murah berbanding perkahwinan yang dibina lama dan berusia menyebabkan premium bayaran menjadi mahal.

“Untuk menjadikan sistem takaful insurans perkahwinan sebagai satu perkara wajib, saya tidak rasa ia akan diteruskan dan dilaksanakan. Sejauh mana kita boleh mewajibkan cadangan berkenaan. Jika mahu mewajibkannya, bagaimana caranya untuk dilaksanakan. Itu menjadi tanda tanya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *