Sokong ejen insurans bumiputera


Sokong ejen insurans bumiputera

image

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Golongan bumiputera dilihat masih jauh ketinggalan dari segi penglibatan sebagai ejen atau individu yang mendapatkan perlindungan insurans hayat di negara ini.

Sehubungan itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, sokongan padu perlu diberikan kepada ejen insurans bumiputera bagi memperluas dan meningkatkan keupayaan mereka dalam industri tersebut.

Menurut beliau, usaha juga perlu dilakukan bagi memberi kesedaran dan pendedahan kepada golongan bumiputera berhubung kepentingan mendapatkan perlindungan insurans.

“Kita melihat golongan bumiputera khususnya golongan muda tidak menganggap perlindungan insurans sebagai keutamaan dalam perbelanjaan mereka.

“Mereka tidak meletakkan insurans dalam senarai yang perlu diambil perhatian. Jadi, saya berharap sikap dan persepsi sebegini dapat diubah bagi memastikan mereka memiliki jaminan pada masa hadapan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Ejen Insurans Hayat Bumiputera 2013 di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, jumlah ejen insurans hayat dalam kalangan bumiputera yang dicatatkan masih rendah iaitu sebanyak 12,641 orang.

Keadaan itu, menurut beliau, berbeza dengan bilangan ejen insurans dalam kalangan kaum Cina yang berjumlah 57,638 orang, manakala kaum India (10,841) kaum-kaum lain (1,392).

“Kadar penembusan pasaran insurans yang masih rendah sebenarnya membuka peluang perniagaan kepada golongan bumiputera yang ingin menjadi ejen, penasihat kewangan mahupun kakitangan bersama syarikat terbabit.

“Malah, statistik dari Jabatan Perangkaan menunjukkan sebanyak 76,200 siswazah menganggur tahun lalu. Jadi, memandangkan industri itu masih lagi mencari bakat-bakat baharu untuk menyumbang kepada pembangunan industri insurans negara, peluang ini seharusnya direbut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (Liam), Kamaluddin Ahmad berkata, kadar penembusan pasaran yang dicatat sehingga kini hanya 42 peratus dan jumlah tersebut masih jauh berbanding sasaran 75 peratus yang dicapai pada 2020.

“Masih terdapat banyak ruang dan potensi untuk kita memperluas pasaran insurans hayat supaya industri ini diterima sepenuhnya di negara ini.

“Sehubungan itu, ejen perlu mencabar diri mereka mencapai produktiviti lebih tinggi, memastikan jualan dan perkhidmatan sempurna di samping menetapkan diri ke arah matlamat pengekalan yang lebih tinggi,” katanya.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130923/ek_03/Sokong-ejen-insurans-bumiputera#ixzz3IWEKLr3A
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *