Masa depan kelam

Masa depan kelam

pix_gal1

Kuala Lumpur: Perlindungan kewangan individu dilihat berada pada tahap membimbangkan memandangkan ia terlalu rendah untuk menampung keperluan kewangan waris sekiranya mereka meninggal dunia atau berdepan hilang upaya kekal.

Kajian jurang perlindungan rakyat negara ini bagi tahun 2012 yang dilaksanakan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dengan kerjasama Actuarial Partners Consulting Sdn Bhd mendapati jurang perlindungan rakyat Malaysia diunjurkan berjumlah RM2.489 trilion atau sembilan kali ganda daripada purata pendapatan tahunan pada 2012.

Ia dilaksanakan untuk mengukur perbezaan antara sumber kewangan ditinggalkan pencari nafkah kepada keluarganya berbanding jumlah diperlukan keluarga untuk mengekalkan taraf hidup semasa selepas kematian atau pencari nafkah berdepan hilang upaya kekal.

Melalui kajian yang bertajuk The Story of Gap: Charting Takaful Growth In Malaysia itu, secara purata setiap rakyat Malaysia yang bekerja tidak mempunyai perlindungan mencukupi sehingga RM200,000 untuk ditinggalkan kepada keluarganya bagi membolehkan mereka mengekalkan taraf hidup semasa, jika pencari nafkah itu meninggal dunia atau berdepan hilang upaya kekal.

Pengerusi MTA, Zainudin Ishak berkata, setiap peringkat umur mempunyai perbezaan jurang perlindungan dan ia lebih ketara dalam kelompok mereka yang berusia kurang 30 tahun.

“Daripada hasil kajian ini menunjukkan golongan muda berusia kurang 30 tahun mempunyai perlindungan paling sedikit.

“Ini kerana kebanyakan daripada mereka lebih gemar membelanjakan gaji diperoleh untuk membeli barangan terkini seperti gajet,” katanya.

Daripada laporan berkenaan, rakyat Malaysia yang bekerja di bawah 30 tahun mempunyai jurang perlindungan terbesar dengan jumlah jurang perlindungan RM1.065 trilion atau purata 17 kali ganda daripada pendapatan tahunan.

Ia berlaku kerana generasi muda gemar belanjakan pendapatan untuk barangan gaya hidup dan hiburan seperti telefon mudah alih.

Menurutnya, selain golongan muda, mereka yang berpendapatan rendah dengan gaji bulanan di bawah RM1,000 mencatatkan jurang perlindungan besar iaitu RM916 bilion atau purata 17.5 kali ganda daripada pendapatan tahunan kerana golongan itu kekurangan dana untuk membeli produk insurans atau takaful.

Individu belum berkahwin mempunyai jurang perlindungan tinggi iaitu 17 kali ganda daripada pendapatan tahunan sementara individu yang berkahwin mencatatkan jurang perlindungan lima kali ganda daripada jumlah pendapatan setahun.

Zainudin berkata, daripada kajian itu, pihaknya mendapati pengguna lebih berminat dengan produk takaful dengan pelan simpanan dan pelaburan berbanding perlindungan kerana berpendapat produk perlindungan tidak memberi nilai kepada wang mereka.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07