Terdiam doktor minta RM20,000


Terdiam doktor minta RM20,000

KUALA LUMPUR: “Apabila bergelar doktor ortopedik nanti, saya pasti mencari punca penyakit yang saya tanggung ini,” kata Nur Hafizah Misngat, 17, yang menderita sakit tulang belakang berbentuk ‘S’ sejak tiga tahun lalu.

Pelajar yang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata demikian ketika ditemui di Balai Berita, di sini, kelmarin untuk mendapatkan bantuan bagi menanggung kos pembedahan penggantian implan dan monitor saraf (neuro) sebanyak RM20,500 yang bakal dijalankan Selasa depan. [wdsm_ad id=”2288″ class=” ” ]

Nur Hafizah mengakui dia mengalami kesukaran belajar akibat sering tertidur di dalam kelas, malah pernah dimarahi guru, sebelum memaklumkan penyakitnya.

Menurutnya, biarpun dia mengalami masalah ketika di kelas, namun dia mengambil inisiatif mengulang kaji pelajaran secara berkumpulan bersama rakan bagi mengelaknya daripada tercicir dalam mana-mana subjek terutama jurusan Sains.

Katanya, sebelum ini dia aktif menyertai pertandingan kawad kaki mewakili Puteri Islam, Sekolah Menengah Lui Barat, Bandar Seri Jempul, namun menghentikan aktiviti itu apabila mengalami masalah sakit kaki, yang kemudiannya disahkan menghidap penyakit tulang belakang oleh doktor Hospital Kuala Pilah, awal Januari lalu.

“Penyakit ini mula disedari kakak saya (Norhidayah, 23) pada 2008 apabila dia membuat ukuran badan bagi menjahit baju kurung untuk saya dan memaklumkannya kepada ayah.

“Tetapi pemeriksaan cuma dilakukan pada awal 2009 kerana sebelum itu, ayah yakin bahawa saya tidak mengalami masalah kesihatan serius.

“Tambahan pula, sejarah keluarga kami tiada penyakit seperti itu,” katanya.

Sementara itu, ayahnya, Misngat Ahmad, 63, mengakui terkilan apabila dia tidak membawa Nur Hafizah membuat pemeriksaan segera, namun bersyukur apabila mengetahui keadaan anak kelapannya itu masih boleh diselamatkan menerusi pembedahan.
“Apabila doktor memaklumkan kos pembedahan, saya terdiam kerana tidak mempunyai wang sebanyak itu. “Nak harapkan hasil penjualan kelapa sawit, saya baru membuat penanaman semula dan sepenuhnya bergantung hidup kepada anak yang bekerja,” kata peneroka dari Felda Lui Selatan, Bandar Seri Jempul, Negeri Sembilan itu.

Harapannya, pembedahan Nur Hafizah dapat dilakukan secepat mungkin berikutan ia sudah tertangguh sejak Mac lalu.

[wdsm_ad id=”2298″ class=” ” ]

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan, boleh membuat sumbangan menerusi cek atas nama The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) dan menghantar ke alamat Jabatan Kewangan/Unit Kebajikan NSTP, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : 2010/12/18

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *