Tanggung kos rawatan sendiri


Tanggung kos rawatan sendiri

KEPALA BATAS – Seorang warga emas yang menjadi mangsa kemalangan Isnin lalu kecewa apabila terpaksa menanggung semua kos rawatan kecederaan yang dialami selepas lelaki yang melanggarnya tidak mahu bertanggungjawab.

Rohani Yahaya, 62, dari Taman Bertam Indah di sini berkata, sikap tidak bertanggungjawab pemandu yang dikenalinya itu membuatkan dia terpaksa menanggung semua kos rawatan.

Menurutnya, lebih malang, akibat kemalangan itu, tahap kesihatannya kini semakin merosot teruk dengan bahagian pinggang dan paha semakin sakit apabila digerakkan berbanding sebelumnya.

“Saya kesal kerana dia tidak mempedulikan kebajikan saya sedangkan kemalangan yang berlaku itu berpunca dari kecuaiannya, bukan salah saya.

“Saya mengenalinya kerana tinggal berdekatan dengan kawasan perumahan saya dan merupakan antara orang penting sebuah masjid di sini tetapi sikapnya dikesali apabila tidak mengamalkan pendekatan berhemah dan bertimbang rasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengimbas kejadian pada jam 9.30 pagi Isnin lalu, Rohani yang juga ibu tunggal berkata, dia menunggang basikal untuk ke kedai berhampiran apabila tiba-tiba dilanggar oleh lelaki berkenaan.

“Sebaik melalui sebuah simpang, kereta lelaki terbabit melanggar basikal dinaiki menyebabkan saya terhempas ke atas jalan raya hingga mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan.

“Lelaki itu hanya turun dari keretanya dan meminta saya beralih ke bahu jalan sebelum berlalu pergi meninggalkan saya tanpa memberi sebarang bantuan atau duit ubat,” katanya.

Rohani berkata, dia dikejarkan ke Hospital Kepala Batas oleh pengguna jalan raya yang kebetulan melalui kawasan itu, sebelum bertindak membuat laporan polis sejurus selepas itu.

“Saya kesal kerana dia lepas tangan dan tidak mengunjungi saya selepas kejadian itu walaupun dia yang bersalah kerana melanggar saya.

“Bukan wang ringgitnya yang saya hendak minta tetapi cukup sekadar datang menjenguk bertanya khabar dan bukannya mengambil pendekatan berdiam diri sebegini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *