fbpx

Kos perubatan RM22 bilion

Kos perubatan RM22 bilion

KUCHING 23 Mei – Kerajaan terpaksa menanggung kos perubatan yang tinggi iaitu RM22 bilion pada tahun ini berbanding RM20 bilion pada tahun lalu untuk menyediakan keperluan perubatan bagi pesakit yang dimasukkan ke hospital di seluruh negara.
Lebih membimbangkan, suku daripada rakyat negara ini mengalami masalah obesiti, sekali gus menjadi penyumbang kepada peningkatan jumlah kemasukan pesakit ke hospital.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, jumlah pesakit yang masuk ke hospital di seluruh negara semakin meningkat setiap tahun sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa berbelanja besar untuk menyediakan keperluan perubatan bagi tujuan rawatan.
Katanya, setiap tahun kira-kira tiga juta pesakit di negara ini dimasukkan ke hospital iaitu dua juta di hospital kerajaan dan selebihnya hospital swasta.
“Jumlah pesakit semakin hari semakin meningkat sehingga menyebabkan kesesakan di hospital kerajaan dan swasta. Akibatnya, peruntukan kerajaan untuk menyediakan keperluan perubatan turut meningkat iaitu daripada RM20 bilion pada 2013 kepada RM22 bilion tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Organisasi Doktor Keluarga Sedunia (WONCA) Wilayah Asia Pasifik Ke-20 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini semalam.
Yang turut hadir, Menteri Muda Kesihatan Awam negeri, Datuk Dr. Jerip Susil; Pengerusi Penganjur WONCA, Prof. Dr. Mohammad Husni Jamal; Presiden WONCA, Prof. Micheal Kidd Am; Presiden WONCA Wilayah Asia Pasifik, Dr. Jung Kwon Lee dan Presiden Akademi Doktor Keluarga Malaysia, Prof. Datuk Dr. D. M Thuraiappah.
Mengulas lanjut, Dr. Hilmi berkata, nisbah doktor bagi Semenanjung ialah seorang doktor bagi 760 pesakit manakala di Sarawak, seorang doktor untuk 1,500 pesakit.
Jumlah katil pula, katanya, masih kekurangan iaitu satu nisbah lapan katil untuk 100,000 pesakit.
“Sekiranya keadaan berterusan begini, kita pasti memerlukan lebih banyak doktor dan katil untuk menampung pertambahan jumlah pesakit yang pastinya menelan kos yang tinggi.
“Bagi mengatasi masalah ini, pihak kementerian kini memfokuskan program pencegahan di peringkat akar umbi supaya pesakit dapat menerima rawatan awal dan dapat mengelak dimasukkan ke hospital,” katanya.
Antara usaha dijalankan, kata beliau, ialah memperkenalkan Program Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen) bersama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di seluruh negara; mempertingkatkan rawatan di setiap klinik kesihatan termasuk ibu dan kanak-kanak, klinik 1Malaysia serta swasta untuk pencegahan peringkat awal.
 
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140524/dn_16/Kos-perubatan-RM22-bilion#ixzz33OGX4AwZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Share this post