Percutian urus jenazah

Percutian urus jenazah

Kepulangannya ke rumah keluarga di Kampung Hutan Chengal, Tendong Pasir Mas, di sini, untuk bercuti, tetapi percutian seorang lelaki itu bertukar majlis menguruskan pengebumian adik lelakinya yang maut dalam kemalangan pagi kelmarin.

Dalam kejadian di Kilometer 88.3 Jalan Ayer Jeli, dekat Kampung Gemang, di sini, Mohd Zabri Ismail, 38, terkorban apabila motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya dari arah Tanah Merah, merempuh van yang tiba-tiba melintas memasuki simpang di kiri jalan.

Anak ketujuh daripada sembilan beradik terbabit meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami pendarahan teruk di kepala serta dada dan mayatnya dihantar ke Hospital Jeli untuk bedah siasat.

Ibrahim Ismail, 60, berkata, dia bersama keluarganya pulang ke kampung dari Kuala Lumpur sempena cuti hujung minggu untuk bersama ibu, Zaharah Abdullah, 80, dan Mohd Zabri.

“Saya sempat bersama arwah sebelum dia keluar rumah jam 9 pagi, berkonvoi bersama empat rakan ke Jeli,” katanya yang ditemui di sini, kelmarin.

Menurutnya, Mohd Zabri periang dan digemari anak saudara kerana sikapnya yang mesra.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hutan Cengal jam 7.30 malam kelmarin.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan Sheik Azhar Sheik Omar berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan siasatan awal mendapati motosikal ditunggangnya dari arah Tanah Merah menghala Jeli merempuh van dipandu seorang wanita yang melintas untuk memasuki simpang.

“Van terbabit yang juga dalam arah sama, sebelum itu berhenti menjual sayur di laluan bertentangan.

Ketika kejadian van itu mahu kembali ke laluan asal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.