fbpx

Orang ramai makin sedar pentingnya insurans

Orang ramai makin sedar pentingnya insurans

image
KESEDARAN memiliki insurans dalam kalangan Bumiputera kini semakin meningkat jika dibandingkan dengan beberapa tahun dahulu, berikutan kesedaran pentingnya mempunyai perlindungan ke atas risiko yang bakal dihadapi.
Ketua Jabatan Pengurusan Sumber Dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, bagaimanapun jumlah itu masih rendah dan bagi memberikan galakan, pendidikan kewangan terutamanya dalam aspek berkaitan dengan pengurusan risiko perlu diberikan tumpuan.
“Masyarakat umumnya perlu diberi pendedahan dan kesedaran terhadap risiko yang bakal dihadapi sekiranya menghadapi masalah kesihatan ketika tidak mempunyai perlindungan.
“Bukan itu sahaja, persatuan insurans dan takaful juga haruslah menganjurkan seminar percuma kepada masyarakat berkaitan dengan pengurusan risiko, sekali gus memberikan pendedahan umum kepada orang ramai,” katanya.
Sementara itu, mengulas berhubung penyebab golongan Bumiputera kurang memiliki insurans pelindungan, Mohamad Fazli berkata, pendapatan yang hanya mencukupi untuk membeli keperluan asas dan semasa keluarga menjadi antara faktor utama.
“Oleh itu, majikan memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan kewangan di tempat kerja,agar kakitangan mampu menguruskan kewangan dengan berhemah.
“Manakala, kadar dan harga semasa membeli insurans dan takaful yang mahal juga menyebabkan orang ramai tidak mampu untuk menampung komitmen pembayaran setiap
bulan,” katanya.
Selain itu, tanggapan segelintir individu bahawa kemudahan kesihatan adalah tanggungjawab majikan juga masih diterapkan dalam kalangan masyarakat hari ini.
Bukan itu sahaja, katanya, pengalaman lampau ahli keluarga dan kawan-kawan yang berhadapan dengan ejen tidak bertanggungjawab dalam hal-hal tuntutan menjadi punca orang ramai kurang membeli insurans.

Share this post