fbpx

Dua beradik hidap kanser ovari

Dua beradik hidap kanser ovari

KUANTAN – Dua beradik, Janice Loy Shueyt Yee, 17, dan Carmen Loy Shueyt Yee, 13, pada mulanya resah apabila dalam tempoh singkat perut mereka tiba-tiba membesar bagaikan perempuan sedang sarat mengandung.
Kejadian aneh itu dialami serentak dua beradik itu dan pada masa sama perut mereka mulai mengeras tetapi tiada kesakitan dirasai.
Bagaimanapun, kata ibu mereka, Lee Fong Leng, 45, setelah melakukan pemeriksaan di hospital segala persoalan terjawab apabila kedua-dua anaknya itu disahkan menghidap kanser ovari.
Menurutnya, bagi mengelak perut kedua beradik itu semakin memboyot, pembedahan membuang ketumbuhan dalam ovari mereka dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada Januari lalu secara berasingan.
Katanya, pada awalnya perut anak sulung yang mula membesar kemudian disusuli pula adiknya mengalami masalah sama, malah hilang selera makan dan demam.
“Saya akhirnya membawa mereka ke hospital membuat pemeriksaan dan setelah disahkan menghidap kanser ovari pembedahan segera dijalankan iaitu Carmen pada 15 Januari 2013 serta kakaknya pula pada 17 Januari lalu.
“Kami terkejut apabila ketumbuhan seberat tiga kilogram iaitu seperti berat mengandungkan bayi sembilan bulan dikeluarkan dari perut Carmen manakala kakaknya bersaiz lebih kecil,” katanya pada lawatan Adun Teruntum, Sim Chon Siang ke rumah keluarga berkenaan, di Bukit Setongkol, di sini, semalam.
Fong Leng yang juga ibu tunggal berkata, kedua-dua anaknya terpaksa berehat seketika memandangkan keadaan kesihatan tidak mengizinkan.
Menurutnya, walaupun sudah menjalani pembedahan, Carmen dan Janice perlu menjalani kemoterapi untuk memastikan sel kanser tidak terus merebak.
“Apa yang mengejutkan keluarga kami tiada keturunan menghidap kanser, malah penyakit ini menyerang anak saya secara serentak.
“Dalam keadaan sekarang, saya perlu memberi sepenuh perhatian kepada mereka berdua dan pada masa sama perlu bekerja sebagai jurujual untuk mencari rezeki memandangkan suami sudah lama meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Chon Siang berkata, keluarga ini perlu dibantu kerana boleh dianggap sebagai kurang berkemampuan.
Sesiapa yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank 106221026200 di atas nama Lee Fong Leng atau menghubungi talian 012-9818819.

Share this post